Monday 5 September 2011

Jawapan Kepada Mat Sabu !!!


( Sila baca post sebelumnya untuk kefahaman mendalam ... )

PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 di King House dan diumumkan oleh kerajaan British . Perjanjian ini ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, dan Sir Edward Gent, sebagai wakil Kerajaan British . Perjanjian ini adalah sebagai persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Perjanjian ini penting kerana ia memansuhkan Malayan Union dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali. Kedudukan Raja-Raja Melayu juga telah dikembalikan. “- ( Sumber = wikipedia )

Artikel diatas jelas menunjukkan bahawa usaha kemerdekaan telah dijalankan walaupun sebelum serangan keatas Balai Polis Bukit Kepong. Berbeza dengan perjuangan PKM, usaha tersebut tidak melibatkan sebarang pertumpahan darah. Jadi apa relevannya serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong dengan usaha menuntut kemerdekaan? Disebabkan itulah kenyataan Mat Sabu bahawa mereka yang terlibat adalah pejuang kemerdekaan adalah salah sama sekali!! Untuk apa melakukan serangan sedemikian sekiranya tuntutan kemerdekaan sudah pun berada di landasan yang betul? Sebab itu saya berpendapat segala tindak tanduk PKM adalah lebih kepada kepentingan perjuangan komunis untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Ingin saya tegaskan di sini, Hampir semua yang terkorban adalah orang Melayu. Mereka adalah Anggota Polis Persekutuan Tanah Melayu yang telah bersumpah untuk menjaga keselamatan penduduk Persekutuan Tanah Melayu dan taat setia kepada Raja-Raja Melayu. Setia kepada kerajaan pra-merdeka. Bukan kepada kerajaan British. Tidak sepatutnya timbul isu mereka tali barut penjajah!!


Biodata Mat Indera boleh didapati dengan mudah di mana-mana blog. Tak perlu saya sertakan disini. Persoalannya, adakah wajar kita mengangkat perjuangan seseorang yang bersekongkol dengan PKM sebagai pejuang kemerdekaan? Mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan adalah sama seperti kita mengangkat PKM sebagai pejuang kemerdekaan!! Adakah kerana niat murni Mat Indera untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu menghalalkan apa saja kaedah yang digunakannya? Adakah wajar kita menghalalkan tindakan PKM yang mengorbankan beribu-ribu orang kita demi perjuangannya? 

Yang hairannya, kita boleh lihat pattern yang sama dalam permainan politik sekarang....

Serangan Ke Atas Balai Polis Bukit Kepong


Menurut ACP Che Yussof Bin Che Ngah, Timbalan KJSJ Johor fakta yang sebenar kejadian tragedi Serangan Komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong

Serangan ke atas Balai Polis bukit Kepong berlaku pada 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.
Bukit Kepong adalah sebuah kampung terpencil yang terletak di tebing sungai Muar, Johor yang mempunyai lebih kurang 20 buah kedai kebanyakannya kepunyaan orang Cina. Kampung ini berdekatan dengan beberapa kampung Melayu dalam jarak persekitaran 3 ke 6 kilometer melalui jalan darat. Cara yang paling mudah untuk ke Bukit Kepong ialah melalui jalan raya ke Lenga dan melalui jalan sungai ke Bukit Kepong yang mengambil masa lebih kurang 2 jam.

Kedudukannya yang terpencil ini, menyebabkan Bukit Kepong terputus hubungan dengan dunia luar. Penduduk kampung ini adalah orang-orang yang sederhana, berani dan berdikari. Mereka banyak mencapai kejayaan dalam menentang pengganas komunis sejak bermulanya darurat. Insiden yang paling menarik bermula 18 bulan terdahulu apabila 3 orang Melayu bertembung dengan 3 orang pengganas komunis yang bersenjata.

Dengan hanya bersenjatakan pisau, mereka berjaya membunuh seorang pengganas, mencederakan dan menawan seorang lagi serta menyebabkan pengganas yang ketiga melarikan diri. Dalam pertempuran yang lain, pengawal kampung yang terdiri daripada 40 orang polis bantuan dan beberapa kumpulan bersenjatakan parang telah diberi penghargaan `Colonial Police Medals' ke atas keperwiraan mereka.

Pasukan Polis bantuan ini bekerjasama rapat dengan pasukan polis Bukit Kepong. Tiga orang daripada mereka sedang bertugas seperti biasa semasa Balai Polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan pengganas komunis (180 orang) lebih kurang jam 5.00 pagi, 23 Februari 1950. Pertahanan balai polis dan berek kelamin serta merta didirikan untuk menghadapi serangan hebat daripada pengganas komunis yang menggunakan senjata-senjata automatik yang mengepung balai polis. Tembak-menembak berlaku dengan sengitnya, dan pihak pengganas komunis mengarahkan supaya anggota polis menyerah diri tetapi tidak diendahkan oleh mereka.

Pertempuran berterusan dan beberapa orang anggota di balai polis terbunuh, sementara di berek kelamin pula anggota-anggota polis yang tidak bertugas terus bertempur sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota marin polis turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota- anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Apabila pihak komunis memulakan pengepungan, pihak komunis percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:

1. Kelebihan senjata dan jumlah anggota

2. Keadaan stesen yang terpencil

Balai Polis Bukit Kepong ketika itu diketuai oleh OCPS Sarjen Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika kejadian, dia tiada di situ, kemungkinannya pekara yang diketahui oleh pihak komunis.

Selain itu terdapat platun campuran 15 polis Melayu dan Konstabel Polis Marin di bawah Sarjen Jamil Mohd Shah. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal khas dan empat polis tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang polis kesemuanya.

Tiga belas isteri dan anak-anak polis tinggal di berek kelamin di sebelah belakang balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan polis marin di situ.

Serangan Komunis

Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan mereka dipercayai diketuai oleh Mat Indera, Komunis Melayu dan Komisser Goh Peng Tun. Pihak komunis mengepung balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 4.15 am. apabila SC Jaffar mencabar dan menembak seorang anggota komunis yang sedang memotong kawat duri.

Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap mengejutkan pihak polis tetapi kini menerima tentangan hebat, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik kawalan. Sungguhpun lebih sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Allahyarham Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Beberapa anggota terbunuh apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.

Sekitar pukul 5 pagi pasukan Polis Tambahan beserta sekumpulan sukarelawan digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk membantu. Mereka diserang hendap oleh pasukan pengawal belakang komunis dan beberapa orang turut terkorban. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Stern Gun turut dimusnahkan komunis.

Memandangkan kekuatan pertahanan balai polis, komunis mula menggunakan taktik kotor. Sekitar pukul 7 pagi, pihak komunis menawan seorang isteri polis Miriam Ibrahim, isteri kepada konstebel Mohamad Jaafar. Pihak komunis memaksa Miriam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah.

Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Miriam dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, konstabel Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga mati setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.

Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek pegawai dan stesen polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek pasangan kawin. Pada ketika itu hanya 3 orang polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup.

Mereka meluru keluar dari stesen yang terbakar dan menyerbu kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Hanya seorang sahaja berjaya menyeberangi sungai dengan rifle masih di tangannya.Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.

Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis.

Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya mengalahkan polis dan membakar stesen itu. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.

14 anggota polis, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (dalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

ANGGOTA POLIS YANG TERKORBAN

1. Sergeant 3493 Jamil Bin Mohd Shah

2. Corporal 7068 Mohd Yassin Bin Haji Wahab

3. Lance Corporal 7186 Jidin Bin Omar

4. PC 9136 Hassan Bin Osman

5. PC 5674 Abu Bin Mohd Ali

6. PC 3933 Hamzah Bin Ahmad

7. PC 7862 Abdul Kadir Bin Jusoh

8. PC 8600 Jaafar Bin Hassan

9. PC 7493 Muhammad @ Ahmad Bin Jaafar

10. PC Marine 181 Basiron Bin Adam

11. PC Marine 68 Awang Bin Ali

12. PC Marine 60 Ibrahim Bin Adam

13. EPC 3795 Jaafar Bin Arshad

14. EPC 3475 Mohd Top Bin Lazim

ANGGOTA AP YANG TERKORBAN

1. AP 2130 Samad Bin Yatim

2. AP 1912 Mahmud Bin Saat

3. AP 1925 Ali Bin Akob

4. AP 2127 Othman Bin Yahya

5. AP 2098 Redzuan Bin Alias

KELUARGA POLIS YANG TERKORBAN
1. Fatimah Bin Yaaba (Isteri PC Marine 37 Abu Bakar Daud)

2. Hassan Bin Abu Bakar (Anak PC Marine 37 Abu Bakar Daud)

3. Simah Binti Abu Bakar (Anak PC Marine 37 Abu Bakar Daud)

4. Saadiah (Isteri PC 5674 Abu Bin Mohd Ali)

5. Arafah Binti Yusoff (Isteri PC Marine 60 Ibrahim Bin Adam)

ORANG KAMPUNG YANG TERKORBAN
1. Embong Bin Lazim

2. ( Bukan muslim )

ANGGOTA POLIS YANG CEDERA PARAH
1. PC 7645 Yusof Bin Rono

2. PC 10533 Othman Bin Yusof

3. PC Marine 37 Abu Bakar Bin Daud

4. EPC 3472 Ahmad Bin Khalib

KELUARGA POLIS YANG TERSELAMAT

1. Mariam Binti Ibrahim (Isteri PC 7493 Muhamad Jaafar)

2. Zainun Binti Muhamad (Anak PC 7493 Muhamad Jaafar)

3. Abu Samah Bin Muhamad (Anak PC 7493 Muhamad Jaafar)

4. Jamilah Binti Abu Bakar (Anak PC Marine 37 Abu Bakar Bin Daud)

5. Hussain Bin Abu Bakar (Anak PC Marine 37 Abu Bakar Bin Daud)

6. Fatimah Binti Abdul Manan @ Timah Lawa (Isteri PC 9136 Hassan Bin Othman)

7. Pon Bin Khalid (Isteri PC Marine 88 Awang bin Ali)

8. Fatimah Tuani (Isteri PC 3933 Hamzah Bin Ahmad)

9. Rahimah Binti Ibrahim (Anak PC Marine 60 Ibrahim Adam)


( sumber dan kredit kepada = pengundisetiasungairapat.blogspot.com )

Kenali Parti Komunis Malaya !!!


Seluruh negara kecoh sejak pemimpin no 2 PAS menimbulkan isu sensitif berkaitan Mat Indera, salah seorang figura komunis ketika zaman darurat. Beliau menyatakan Mat Indera adalah seorang tokoh pejuang kemerdekaan Malaysia yang wajar dihargai jasanya, setaraf dengan pengasas UMNO, Dato' Onn Jaafar dan lain lain pejuang kemerdekaan,. Berikut adalah teks ucapannya.

Bukit Kepong, polis itu polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pegawai kerajaan, ketuanya Mat Indera, Melayu, tetapi semua sejarah itu ditutup, Jins Samsuddin buat filem, Jins Samsuddin tu UMNO, cerita bukit Kepong, hak serang balai polis tu penjahat, polis tu polis British, sebelum merdeka negara kita diperintah oleh British, tapi dia buat filem yang hero hak pertahan balai polis, hak serang tu pengganas, padahal Mat Indera ketua penyerang balai polis tu dan akhirnya dia dihukum gantung di Jering Taiping, begitulah juga Tok Janggut, Tok Janggut ni lawan British, tapi sebelum British nak..nak bunuh dia, dia menghasut Sultan Kelantan untuk mengishtiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka, bila ishtihar Tok Janggut sebagai penderhaka, barulah tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh Kelantan. Semua sejarah negara kita bohong….”

Sebelum saya menyentuh isu tentang Mat Indera atau nama penuhnya Muhammad Bin Indera, baik kita fahami dulu akan sejarah komunis di negara ini dan apakah yang diperjuangkan mereka.

PKM ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1930an. Penubuhan PKM dipengaruhi Pergerakan Komunis Antarabangsa ( Comintern ) yang diselenggara Komunis Rusia. Tujuan penubuhan PKM ialah untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya. Berikut adalah asas-asas fahaman komunis.

Komunisme diasaskan oleh Karl Marx pertengahan abad ke-19

Karl Marx – menulis buku The Communist Manifesto ( Manifesto yang menentang kewujudan agama dan tuhan ), Das Capital & The German Ideology

Merupakan fahaman yang menentang golongan feudal & imperialis secara kekerasan untuk menggantikan pemerintahan sedia ada dengan pemerintahan bercorak fahaman komunis

Feudal – sistem kemasyarakatan yang dikuasai golongan
bangsawan

Imperialis – negara yang menjajah atau mengenakan kuasa
pemerintahannya ke atas negara lain

Komunisme memperjuangkan masyarakat tanpa kelas, memiliknegarakan tanah & perindustrian

Di Tanah Melayu ia disebarkan melalui Parti Kuomintang (KMT) & Parti Komunis Nanyang. Ejen komunis menyebarkan dakyah komunis di kalangan orang Cina melalui kesatuan sekerja, persatuan2, kelas2 malam & penerbitan risalah dan buku. Di kalangan orang Melayu, fahaman komunis disebarkan melalui Parti Komunis Indonesia (PKI) pada tahun 1924-1930.

Ketika berlakunya perang dunia kedua, melihat Rusia berkerjasama dengan British bagi menentang kemaraan Jerman dan Itali, PKM menurut langkah tersebut dengan bekerjasama dengan British di Tanah Melayu untuk menentang Jepun dengan menubuhkan MPAJA ( Malayan People Anti Japanese Army ) dengan mengenepikan segala ideologi mereka. Ini merupakan hubungan yang berfaedah untuk kedua-dua pihak kerana British mendapat bantuan MPAJA yang mempunyai 7000 ahli dan MPAJA mendapat bantuan latihan ketenteraan dan senjata yang mencukupi.

Selepas pengunduran Jepun dari Tanah Melayu, PKM, menerusi MPAJA telah mengambil kesempatan untuk menguasai Tanah Melayu selama 14 hari. Beberapa siri kegansan dan rusuhan kaum berlaku dalam tempoh tersebut. Akibatnya, British telah membubarkan MPAJA sekembalinya mereka ke Tanah Melayu dengan pemerintahan tenteranya ( BMA ). Kegagalan Bintang Bintang Tiga menguasai Tanah Melayu melalui kekerasan menyebabkan MPAJA dibubarkan walaupun MPAJA enggan menyerahkan kembali senjata yang diberikan British.

Atas kegagalan tersebut, PKM menubuhkan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) untuk mengambil hati orang Melayu. Diasaskan oleh Ahmad Boestamam dan Mokhtaruddin Lasso PKMM lebih cenderung menyertai Indonesia untuk mendapatkan kemerdekaan. Mereka berdua dan lain lain anggota PKMM mendukung fahaman komunis selaras dengan penaung mereka PKM.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, menyaksikan PKM kehilangan peluang untuk menubuhkan republiknya. Dengan itu, PKM menukar strateginya dengan mencetuskan mogok dan rusuhan. British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpinnya dari menyertai Kesatuan Pekerja, lalu melemahkan kemampuan PKM untuk mencetuskan huru hara. Tahun 1948 beberapa orang wakil PKM menghadiri Persidangan Pemuda Komunis Asia di Culcutta, India

Persidangan ini menggalakkan parti2 komunis mengadakan
pemberontakan bersenjata bagi mencapai matlamat

Kesan persidangan – PKM menubuhkan unit gerila Malayan Races
Liberation Army (MRLA)

Rumusan tindak balas PKM adalah seperti dibawah.

Askar-askar PKM yang mahir akan menyerang estet-estet
  • Lombong-lombong bijih timah
  • Pondok-pondok polis
  • Kampung-kampung yang terpencil
Tujuannya agar penduduk sekitar kawasan tersebut akan berpibndah ke kawasan bandar dan kawasan yang kosong ini akan direbut oleh PKM dan dijadikan kawasan yang dibebaskan.
  • Rekrut-rekrut PKM akan diambil daripada Min Yuen iaitu golongan massa yang sudah menjadi penyokong atau bersimpati dengan dengan PKM
  • Askar-askar PKM yang terlatih diarahkan menuju tempat-tempat yang dikuasai oleh British untuk membinasakan pekan-pekan, kampung, landasan keretapi dan lain-lain gerakan sabotaj.
  • Min Yuen pula akan membantu PKM membinasakan ekonomi kapitalis dan sistem pertahanan British.
  • Akan memohon bantuan daripada komunis China dan Rusia apabila diperlukan.
  • Apabila British kalah , Republik Komunis Malaya akan ditubuhkan.

RUMUSAN
Sudah jelas dan nyata perjuangan PKM hanyalah untuk kepentingan mereka iaitu untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya, bukan untuk kepentingan seluruh penduduk tanah Melayu. Mereka sanggup bermuka-muka, berkerjasama dengan British terlebih dahulu untuk mendapatkan senjata, dan mengangkat senjata kemudiannya bila British menjadi batu penghalang mereka. Biarpun beribu penduduk Tanah Melayu terkorban ketika cubaan untuk berkuasa, PKM tidak gentar untuk melakukan apa saja demi untuk berkuasa. Taktiknya yang mempergunakan orang Melayu ( seperti dalam PKMM ) untuk mengaburi mata orang Melayu, kelihatan jelas diguna pakai pada masa kini. Kerakusan PKM untuk berkuasa jelas kelihatan apabila keengganan PKM untuk meletak senjata ketika rundingan Baling walaupun akan diberi pengampunan penuh. PKM bukan pejuang kemerdekaan, hanya memperjuangkan fahaman mereka, dan untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya..Bayangkan apa akan terjadi pada kita hari ini jika PKM berjaya dalam usahanya. menubuhkan Republik Komunis, adakah kita akan dapat mengecapi kebebasan seperti yang kita kecapi sekarang? Adakah akan ada kebebasan bersuara dan kebebasan  berpolitik seperti yang kita ada sekarang?