Tuesday 13 September 2011

AIR ASIA , MAS , SAPPHIRE ???

Siapakah mamat yang hebat ini?


Dilahirkan pada30 April 1964, merupakan pengasas Tune Air Sdn Bhd, juga orang yang memperkenalkan tagline “ Everybody Can Fly” menerusi syarikat penerbangan Air Asia. Berjaya memujuk Tun Dr Mahathir untuk mencadangkan “Open Skies Agreement” dengan negara2 jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura. Hasilnya, AirAsia diberi hak beroperasi di negara2 tersebut. AirAsia mulanya adalah milik DRB-Hicom, yang sedang tenat kewangannya, dibeli oleh Tony pada harga RM 1 (tapi hutangnya bernilai RM40 juta!) Selain hutang, Tony turut memperolehi 2 buah kapal terbang milik AirAsia. Yang hebat tentang Tony ialah, pengambilan AirAsia berlaku ketika krisis 9/11 yang menyaksikan kejatuhan industri penerbangan diseluruh dunia. Tony mengambil kesempatan atas krisis tersebut kerana kos sewa kapal terbang menjunam dan tenaga kerja mahir mudah didapati kerana ramai pekerja industri penerbangan hilang pekerjaan.( Ini nasib baik atau dah rezeki dia atau pengamatan teliti terhadap peluang yang mendatang?)

Selepas memiliki Lotus Racing, baru2 ini, Tony telah berjaya memiliki pasukan bola sepak Queens Park Rangers (QPR) pada August 2011 dengan memperolehi 66% saham QPR. Tony telah dilantik sebagai Pengerusi QPR Holdings Ltd. QPR baru saja layak untuk beraksi dalam EPL ( English Premier League ) untuk musim 2010 – 2011.

Sebelum berita tentang pemilikan QPR oleh Tony, Malaysia pula gempar dengan berita pertukaran saham antara MAS dan AirAsia. Tony telah berjaya memiliki 20% saham MAS manakala MAS pula menerima 10% saham Tune Air Sdn Bhd dalam AirAsia. Tony dan rakannya Kamaruddin Meranum dilantik sebagai Pengarah Non-Independant Non-Executive, Khazanah pula meletakkan Datuk Mohammad Azman Yahya sebagai wakil dengan jawatan yang sama dalam lembaga pengarah MAS. Khazanah masih pemegang saham terbesar MAS. AirAsia adalah antara syarikat tambang murah terbesar di Asia. AirAsia memiliki pegangan saham dalam beberapa syarikat penerbangan dinegara lain seperti Thai AirAsia, Indonesia AirAsia, Viet Jet AirAsia, AirAsia Philiphine,AirAsia Japan. Juga jangan lupa AirAsia X yang menawarkan penerbangan jarak jauh murah ke negara2 seperti Australia,China,Perancis,India dan banyak lagi. AirAsia memiliki 54 pesawat Airbus A320-200 dalam tangannya dengan 200 lagi dalam tempahan yang akan tiba berperingkat.

OK, so secara ringkas kita tau sejarah Tony, cerita pertukaran saham dan cerita QPR.

Terdapat dua pihak yang mengupas tentang isu ini. Mereka yang optimis dan mereka yang menentang keseluruhan proses pertukaran saham antara dua pihak.

Hujah mereka yang optimis :

  • Persaingan dan permusuhan keterlaluan antara MAS dan Air Asia tidak menguntungkan industri penerbangan negara. Ketika MAS dan Air Asia boleh bekerjasama melalui perkongsian laluan dan kepakaran. Sebagai contoh, jika sekarang ini Air Asia menghantar kapal terbangnya untuk diselenggara di Singapura kerana permusuhan dua syarikat ini, pada masa akan datang Air Asia akan menggunakan kepakaran penyelenggaraan MAS di Subang sebagai tempat penyelenggaraan kapal terbangnya. Khazanah juga berharap melalui kerjasama ini, MAS dan Air Asia akan menjadi rakan sekutu yang saling bekerjasama bagi menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hub antarabangsa yang kembali sibuk setelah agak ketinggalan dengan Singapura dan Thailand
  • Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar berkata pertukaran saham tersebut berasaskan nilai pasaran dan bukannya nilai aset bersih (net asset value) . Namun beliau memberi jaminan bahawa Khazanah telah menjalankan kajian rapi dan “due deligence” ketika bersetuju degan pertukaran tersebut dan menyatakan ia merupakan pertukaran yang adil berdasarkan kedudukan kewangn kedua-dua syarikat.
  • Ketika Air Asia memerlukan Khazanah Nasional sebagai pemegang sahamnya bagi mengukuh kedudukan syarikat tersebut dalam industri, MAS pula dilihat memerlukan Air Asia bagi berkongsi pengalaman dan strategi bagi memulihkan semula syarikat tersebut. Melalui penukaran saham ini juga MAS dapat menghalang Air Asia daripada terus bersaing secara langsung dengannya di laluan-laluan antarabangsa.
  • Dengan kerjasama ini Air Asia boleh menumpukan usaha mengekalkan kedudukan sebagai sistem penerbangan bajet rendah yang utama di rantau ini yang ketika ini kedudukan Air Asia sedang dicabar oleh Lion Air dan Tiger Airways. Selain itu, Air Asia dan MAS juga dijangka boleh mengurangkan kos penyelenggaraan pesawat dan penyediaan makanan.
  • Pergerakan saham MAS menurun manakala AirAsia meningkat ketika proses pertukaran saham berlaku menunjukkan nilai saham AirAsia sebanyak 10% yang diterima MAS adalah wajar.

Hujah mereka yang menentang :

  • Kebimbangan tentang “conflict of interest “ kerana kedudukan 2 wakil AirAsia dalam MAS. Sekiranya berlaku situasi yang melibatkan kepentingan AirAsia, adakah 2 wakil tersebut akan membuat keputusan yang memihak kepada MAS atau AirAsia. Melihat kepada kepentingan 2 wakil tersebut dalam AirAsia, sudah pasti mereka akan memihak kepada AirAsia. MAS adalah syarikat milik kerajaan (GLC) yang perlu diutamakan dalam apa jua situasi kerana GLC merupakan harta negara.
  • Selain itu, wujud berita tentang perjanjian pertukaran saham tersebut ada menyebut tentang kemungkinan adanya syarikat penerbangan baru “Sapphire”. Ini menimbulkan kegusaran dikalangan kesatuan pekerja MAS seperti MASEU, ATWUS dan CCF. Mereka merasakan kewujudan SAPPHIRE adalah bertujuan untuk menghapuskan kesatuan. Kewujudan Sapphire umpama untuk "menelan"Firefly”. Kebimbangan ini memang berasas kerana MAS pernah menghadapi kehilangan pekerja beramai2 ketika “pemerintahan” Idris Jala yang telah melaksanakan sistem VSS (di sembunyikan dengan nama MSS).
  • Penukaran saham yang tidak adil antara MAS dan AirAsia yang menyaksikan MAS hanya mendapat 10% pegangan dalam AirAsia sedangkan Tony dan rakannya mendapat 20% pegangan saham MAS. Ini menyebabkan munculnya beberapa teori konspirasi tentang bagaimana Tony melobi cadangan pertukaran saham ini bagi membolehkan Tony mendapat keuntungan yang banyak dari pertukaran saham ini.
  • Kemungkinan akan Tony menggunakan MAS untuk kepentingan dirinya. Sebagai contoh, kita lihat dengan termeterainya perjanjian dengan QPR baru2 ini, MAS akan menjadi penaja jersi QPR selama 2 tahun. Ramai percaya Tony menggunakan MAS sebagai “cash cow”nya untuk menaja pasukan yang dikatakan dibeli dengan harta peribadinya itu. Alasannya, QPR boleh membantu mengiklankan jenama MAS dikalangan peminat bolasepak EPL, walaupun pada dasarnya QPR merupakan pendatang baru dalam EPL.
  • Dominasi dalam industri penerbangan. Ramai percaya disebabkan kepimpinan MAS dan AirAsia dibarisi oleh orang yang sama, akan wujudnya dominasi dalam industri penerbangan Malaysia. Tidak ada lagi “perang harga” seperti sebelum ini. Dimana sebelum ini, akibat “perang harga” antara dua pihak tersebut, kita dapat menikmati harga tiket penerbangan yang lebih rendah. Berdasarkan kedudukan MAS dan AirAsia sekarang, sebarang persaingan antara mereka berdua akan diselesaikan secara penyelesaian dalaman tanpa perlu melibatkan “perang harga”. Malah, paling ditakuti, kedua-dua syarikat penerbangan boleh mengawal harga tiket dengan mudah. Harga boleh dinaikkan atau diturunkan(hampir mustahil) sesuka hati.

Sudah pasti banyak lagi hujah2 yang boleh dibentangkan dua2 pihak. Walaubagaimanapun, sebagai pengguna, kita perlu ingat, yang penting sekali adalah hak kita kena sentiasa diutamakan. Hak untuk menikmati hidup yang lebih baik. Tiket yang lebih murah adalah “kehidupan yang lebih baik” untuk kita. Permainan orang-orang korporat ini sangat sukar untuk dipastikan kebenarannya kerana hanya mereka yang “didalam” permainan ini sahaja yang tahu apa yang berlaku sebenarnya. Maklumat dalaman yang pastinya sukar untuk kita rakyat biasa untuk memperolehinya. Yang penting, kita kena ingat MAS adalah milik rakyat Malaysia, bukan sekadar syarikat biasa yang boleh dijual beli sesuka hati.

Yang penting, sekarang ini kita perlu tunggu dan lihat siapa yang bakal menerajui MAS. Sesiapa pun yang bakal dilantik, haruslah memastikan nasib pekerja2 MAS akan terjamin. Moral pekerja yang tinggi akan menjanjikan khidmat yang berkualiti. Pengurangan kos dengan memberhentikan pekerja bukanlah jalan terbaik untuk meningkatkan keuntungan MAS. MAS haruslah dipimpin oleh seorang yang memiliki perasaan mendalam akan industri penerbangan, bukan akauntan(seperti yang lepas2) yang hanya melihat laporan kewangan, laporan defisit dan laporan yang lain2.